Ghaddul Bashar

"Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi hati yang letaknya di dalam jasad itu yang buta"

Monday, August 30, 2010

Mari Gosok Gigi

Apa maksud bersiwak?

As-Siwak bermaksud membersih atau menggosok gigi. Perkataan ini adakalanya ditujukan kepada alat yang digunakan untuk menggosok gigi iaitu kayu sugi. Menurut istilah ulamak, bersiwak bermaksud; menggunakan kayu sugi atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan kesan kuning (tahi gigi) atau sebagainya dari gigi. Kelebihan bersiwak ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya; “Bersiwak itu menyucikan mulut dan menyebabkan keredhaan tuhan dan mendatangkan kebencian kepada syaitan”.[1]

Bilakah waktu disunatkan bersiwak?

Bersiwak sunat dilakukan pada bila-bila masa dan lebih disunatkan lagi pada lima ketika di bawah;
a) Ketika hendak mengerjakan solat
b) Ketika hendak mengambil wudhuk
c) Ketika hendak membaca al-Quran
d) Ketika bangun dari tidur
e) Ketika berubah bau mulut kerana memakan makanan yang berbau kuat, kerana diam yang lama dan selepas bercakap panjang.

Namun demikian, dimakruhkan bersiwak bagi orang yang berpuasa apabila telah tergelincir matahari dari tengah langit kerana ia boleh menghilangkan kelebihan bau mulut orang berpuasa yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya; “Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat dari bau kasturi”.[2]

Apakah alat untuk bersiwak?

Terhasil sunat bersiwak dengan menggunakan apa sahaja benda yang dapat menghilangkan tahi gigi dan bau mulut termasuklah menggunakan perca kain yang kesat atau seumpamanya. Namun di sunatkan bersiwak menggunakan kayu-kayu yang harum seperti kayu Arak (أراك) atau sebagainya. Adapun dengan jari-jari, tidak terhasil sunat mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab Syafi’ie kerana ia tidak dinamakan bersiwak.

Disunatkan kayu siwak bersaiz sederhana, tidak terlalu keras hingga boleh menyebab luka (pada gusi) dan tidak pula terlalu lembut hingga tidak dapat menghilangkan kekotoran pada gigi.

Disunatkan bersiwak dimulai dari sebelah kanan mulutnya. Begitu juga, disunatkan amalan bersiwak diajarkan kepada kanak-kanak untuk membiasakannya dengan sunnah Nabi s.a.w. ini.

Apakah doa ketika bersiwak?

Menurut Imam ar-Ruyani (w. 501H); sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie mensunatkan membaca doa ketika mula bersiwak dengan doa berikut;

اَللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَاْنِيْ وَشُدَّ بِهِ لِثَاْتِي، وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِيْ، وَبَاْرِكْ لِيْ فِيْهِ يَاْ أَرْحَمَ الرَّاْحِمِيْنَ
“Wahai Tuhanku! Putihkanlah dengannya gigi-gigiku. Kukuhkanlah dengannya gusi-gusiku, tetapkanlah dengannya anak lidah/anak tekakku. Dan berkatilah untukku padanya. Wahai Tuhan yang paling pengasih”.

Menurut Imam Nawawi, doa ini sekali pun tidak datang dari Nabi s.a.w. tetapi harus diamalkan kerana ia adalah doa yang baik.[3]

[1] Riwayat Imam an-Nasai.
[2] Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai dari Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a./al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1923, soheh.
[3] Al-Majmu’, 1/350


sumber : klik di sini

0 Comments:

Post a Comment

<< Home