Permata Hati
Sempena Jumaat yang mulia ini, suka untuk saya kongsikan satu hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi :
‘Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu bapa’
Ibu bapa mempunyai kedudukan darjat yang istimewa di sisi anak-anak. Lantaran itu memiliki anak-anak yang soleh solehah merupakan satu antara nikmat yang paling besar. Lantas tanggung jawab memberi didikan yang sempurna kepada zuriat adalah amanah besar dan wajib dipikul oleh kedua ibu bapa. Oleh itu, anak-anak tidak terlepas daripada menunjukkan ketaatan kepada ibu bapa yang tidak berbelah bagi melainkan kepada perkara yang melanggar syariatNYA.
Antara dosa paling besar selepas syirik kepada Allah adalah derhaka kepada ibu bapa. Bahkan dinyatakan dalam hadith yang lain . (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
Abi Bakrah r.a berkata , Nabi S.A.W pernah bertanya tiga kali :
Maksudnya: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Mereka (para sahabat) menjawab: ‘Sudah tentu ya Rasulullah!’ Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu”.
Hidup selama 25 tahun lebih ini belum cukup mematangkan saya. Dan saya akui amat lemah bila berhadapan antara emosi dan ketaatan terhadap mereka. Kadang kala terturut juga emosi lantaran lemahnya iman, tapi alhamdulillah sekurang-kurangnya negeri Sarawak telah memberi banyak pelajaran dan pengajaran. Ada sisi-sisi yang baik sebenarnya. Di perantauan cukup membuatkan saya berjaga-jaga, kebimbangan pada keluarga memang tak pernah lari dari benak minda. Cuma doa berpanjangan saja, saya titipkan di awal pagi dan lewat malam agar semuanya baik-baik saja.
Memang bukan semua benda yang ibu bapa kita tetapkan menjadi pilihan kita. Tapi percayalah di sebaliknya ada hikmah dan kebaikan yang tak putus. Dulu, sewaktu habis matrikulasi dan peperiksaan akhir saya sibuk dengan program adik-adik di matriks. Urusan mengisi kelapan-lapan pilihan kursus dan universiti saya serahkan kepada mak dengan mengikut pilihan saya. Tup..tup tahu sajalah mak yang merangkap Menteri Pendidikan secara bijaksananya menukar pilihan saya tanpa pengetahuan. Kalau ikutkan saya mahu jadi pharmacist, tapi alih-alih doktor gigi juga yang melekat dan tambah lagi memang dekat benar dengan rumah.
Sehari dua lepas tahu keputusan intake universiti, saya mogok dan berbelah hati. Tapi lihat saja air muka mak dan ayah, tak sampai hati rasanya mahu menghampakan mereka. Maka setulusnya, saya ikut saja pilihan mereka dan totally mengharapkan dengan asbab doa mereka dan ketaatan saya ini agar mumtaz/jayyid dalam setiap imtihan yang dilalui. Alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui segalanya .
Bukan senang nak jadi doktor. Kata orang lah. Bagi saya semua bidang ada kesukaran dan kesenangannya. Cumanya, bidangnya memang kena struggle dan berkorban lebih. Bayangkan masa tahun 4 dan 5, memang ada tikanya sambil carving dan setting dentures dan setiap steps buat dentures pasti ada air mata yang menitik, tangan dah terketar-ketar dan hati berlagu sendu sambil mulut berzikir mencari kekuatan. Stay back lepas habis treat patient pukul 5 petang lebih di dental lab untuk siapkan bancuh impression dan sebagainya. Akhirnya hampir pukul 12 malam baru siap kerja, dengan white coat dan baju sedari pagi tadi, belum mandi, makan malam pun ala kadar. Letih jiwa dan penat tubuh. Ada masa weekend, datang lagi lab bagi memastikan sechedule tak overlapped. Tidur, terasa amat bermakna dan nikmat paling besar ketika itu.
Apabila direnungkan kembali, semua itu tak mungkin terjadi kalau bukan dengan hebatnya kuasa Allah dan berkat doa qudus berpanjangan mak ayah. Tanpa mereka, saya tak mungkin jadi ‘orang’ seperti hari ini. Doa saya, moga ketaatan saya pada mereka tetap sampai bila-bila dan mudah-mudahan di syurga kelak kami semua berkumpul menikmati indahnya jannah.InsyaAllah. Dan saya mahu terus berbakti..
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa” (Surah An Nisa’ : 36)
Koreksi diri : Mampukah saya menjadi seorang ibu yang terbaik pada anak-anak saya kelak. Bila fikir bab nikah kawin ni, terasa kerdil yang amat. Sedangkan hak-hak saya sebagai anak terhadap mak ayah pun belum sempurna ditunaikan apatah lagi saya nak menjadi seorang ibu. Dapatkah saya menunaikan hak-hak anak-anak saya nanti? Wallahua’alam. Harapnya suami saya (baca: akan datang) pun akan turut sama-sama membantu. Ceewah..ayat penuh harapan ni
Sebagaimana iltizamnya Sumayyah menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah dan sebagaimana kesetiaannya Zainab Bt Muhammad dan sebagaimana pengabdiaan Rabiatul Adawiyah dan sebagaimana kesabaran dan kasihnya Khadijah Bt Khuwailid. Begitu jualah saya mengharapkan agar dapat mengikut jejak mereka.
‘Kurniakan si suami, kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga dan semoga dia sabar dengan apa yang menduganya sebagaimana Nabi Allah Ayub a.s bersabar terhadap imannya, kesihatannya dan keluarganya’
~Nowseeheart
Rujukan :
10 Terminal Syurga Rumah Tangga
Strategi Hidup Secara Islam (Fathi Yakan).
0 Comments:
Post a Comment
<< Home