Ghaddul Bashar

"Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi hati yang letaknya di dalam jasad itu yang buta"

Monday, April 30, 2007

Ini Sahajakah Imej Malaysia?

Mar 25th, 2007 by saifulislam

“Alah payunglah payung, ketipang payung. Payung sutera anak raja muda, alah tolonglah tolong, cik abang tolong. Janganlah marah pada adinda!”, merdu suara Aliya, seorang pelajar kejuruteraan elektrik mendendangkan lagu klasik Melayu di Malam Malaysia itu.

Persembahan diserikan lagi dengan iringan penari yang rancak menyusun langkah. Satu depan, dua kiri, satu depan, tiga kanan. Cantik sekali tarian mereka.
Teruja penonton melihatnya. Bakal doktor, bakal akauntan, bakal jurutera, bakal pemimpin teraju negara, semuanya berbakat menari dan berdansa.
Sekejap lagu asli, sekejap lagu balada. Sekejap selembut nasyid, sekejap sekeras Rock membatu.

Malam Malaysia di mana-mana. Seluruh dunia yang ada pelajar Malaysia, mesti ada Malam Malaysia. Alasannya adalah untuk memperkenalkan budaya, mengukuh patriotik kepada negara. Tinggi falsafah indahnya warna.
Tetapi, ini sahajakah wajah Malaysia di mata dunia? Apakah Malaysia hanya ada tarian, hanya ada seni persembahan?

Saya akur bahawa jika Malaysia mahu disebut dari bahasa budaya, tentu sahaja zapin, wayang kulit, tarian dan dansa, itu yang terlintas di kepala. Akan tetapi, saya adalah seorang yang result oriented. Saya tidak melakukan sesuatu melainkan dalam keadaan penuh sedar, dengan apa yang mahu dicapai.
Apa yang mahu dicapai dari Malam Malaysia?

Asing benarkah tarian dan dansa kepada si putih di sini sana, sehingga setiap tahun dansa itu mesti diulang? Asyik-asyik menari, asyik-asyik menyanyi…
Saya telah beberapa kali cuba bertindak secara pro aktif, memberikan cadangan kepada pelajar di kampus-kampus luar negara. Jika mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, janganlah hanya pada makan pakai, tari dan suara. Di mana idea Malaysia? Di mana pemikiran Malaysia?
Apabila pelajar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya sering memberikan pandangan, mengapa tidak diadakan bersama “wacana minda”. Jika soal tari menari tidak boleh ditolak ansur, sekurang-kurangnya adakan juga sesuatu yang dapat memperkenalkan Malaysia dari sudut yang sesuai dengan imej universiti tempat ilmu dan pemikiran.

Mengapa tidak diadakan sesi, memanggil pakar-pakar ekonomi Malaysia, hadir memberikan pembentangan untuk memperkenalkan polisi pembangunan negara? Kalau rasa terlalu sensitif untuk menjemput figure yang dikaitkan dengan politik, kita ada ramai ahli akademik yang dapat menampilkan idea mereka di peringkat antarabangsa.
Tayangkan dokumentari tentang Malaysia yang tidak sukar untuk diperolehi dari pelbagai badan dan media. Didik masyarakat Barat tentang sesuatu yang boleh memperbaiki jati diri mereka. Bukan hanya hedonisma atas nama budaya.

BERALASANKAN KAUM CINA

Sesetengah pengalaman saya membabitkan alasan pelajar bahawa mereka mesti melibatkan tari menari kerana sejumlah besar tenaga penting persatuan adalah pelajar Malaysia berbangsa Cina. Sungguh pelik… apakah pelajar Cina bukan rakyat Malaysia, yang juga ada tanggungjawab sosial, politik, ekonomi, dan intelektual, sama seperti mana-mana bangsa Malaysia? Apakah hedonisma hanya salah pada harga diri Melayu tetapi tidak Cina? Apakah kaum Cina di Malaysia tiada agama untuk dipedulikan? Di mana rukun negara yang pertama?
Itu kalau benar, kaum Cina yang mahukan tari menari dan dansa.
Saya pernah berdialog dengan sebuah persatuan pelajar Malaysia yang kepimpinannya adalah daripada pelajar Cina. Subhanallah, mereka sangat terbuka.
“Saya harap peraturan-peraturan pelajar Muslim boleh sama-sama kita hormati”, saya memberi pandangan.

“Sudah tentu. Kaunter arak akan dilabelkan sebagai ‘not for Muslims‘ dan kami harap pelajar Muslim akan berpakat agar tidak bercampur jantina pada satu meja ketika dinner, dan tidak bercampur jantina dalam kumpulan bola tampar itu nanti. They need to be pro active“, kata Presiden persatuan pelajar Malaysia itu.

Sangat terbuka dan bertanggungjawab terhadap pluraliti agama dan budaya Malaysia.
Tetapi, pelajar Melayu Muslim sendiri yang suka bercampur bebas, terdesak untuk berjoget tanpa diminta oleh persatuan. Maka memberikan alasan bahawa mahu menghormati bangsa lain, hanyalah alasan untuk meneruskan budaya gersang minda dan lapar hedonisma pelajar Malaysia.

ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA SEBUAH MALAYSIA

Saya hairan. Jika Mak Yong yang sudah pupus kerana tenggelam oleh kesedaran beragama itu, boleh diberikan nafas dan nyawa baru atas nama budaya, mengapa tidak Islam juga dipromosikan kerana ia elemen yang penting bagi sebuah Malaysia? Selain Islam, tidak salah untuk dibuka ruang agar wakil agama Kristian, Buddha dan Hindu di Malaysia, berdialog tentang kesedaran beragama di Malaysia. Mungkin boleh dibincangkan tentang bagaimana agama berperanan membina internal strenght di dalam jati diri bangsa Malaysia.
Kalau aktiviti agama, penuh prejudis, halangan dan kekangan. Tetapi tari menari, cepat sahaja bantuan diberi. Saya tidak faham di mana rasionalnya hal ini. Seorang doktor, bukan hanya menjadi doktor. Dia akan memimpin sebuah jabatan, dia akan berurusan dengan pesakit yang insan. Maka, pelajaran tarian mana yang bakal meninggalkan kesan pada kepimpinannya di masa hadapan?

Segala peruntukan dan sokongan, hanya untuk nyanyian, tarian, fesyen dan pakaian. Itu sahaja imej Malaysia yang diulang-ulang dari zaman sebelum merdeka, sampailah menjelang milenium kedua.

Kerana kemaruk hedonisma, budaya dan jati diri Malaysia disalah guna untuk melesenkan nafsu muda yang tidak habis-habis mahu berpesta.
Di manakah masa depan Malaysia yang lebih bermakna?
Soalan itu tenggelam oleh libasan lidi Mak Yong di Barat sana.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Labels:

1 Comments:

  • At Tuesday, 01 May, 2007, Blogger Ummu Yazid said…

    “Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, nescaya akan diujinya dengan beberapa kesusahan” - Al-Bukhari dan Muslim

    camne kita ya?

     

Post a Comment

<< Home