Ghaddul Bashar

"Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi hati yang letaknya di dalam jasad itu yang buta"

Monday, November 06, 2006

Terima Kasih Kerana Menjadi SahabatKu

Hari pertama melangkah,
Dadaku makin terasa sesak
Turun naiknya bagai tak sekata
Peluh memercik
Aku tak tahu menuju ke mana
Kelibat sahabat sematriks menghilang
Masing-masing punya impian berbeza

Namun, kalian hadir
bertemankan senyuman tangan dihulurkan
Pelukan erat mendakap kemas
Menghilangkan seribu gentar berpanjangan

Tahun pertama kita gembur
dengan perkenalan atas sebuah matlamat yang sama
Berpagi-pagian ke kuliah begitu jua petangnya
Semalam kita bertamu di surau
mengisi ruhani yang amat dahagakan ilmu

Peperiksaan menguji kekuatan semua
Saling menyokong, memberi dan menerima seadanya
Makin dekat tarikh itu,
makin dekat jua hati-hati kita
Tawa kalian pengubat hati kala bersedih

Ujian Allah singgah sebentar
Menguji bukan seorang dua tapi semua yang ada
Tangisan sahabat masa itu
meruntun hatiku, apalah gunanya kegembiraan
andai ada antara kita dalam kesedihan..

Tahun kedua
Semangatku menghilang entah ke mana
Sahabat yang ditinggalkan untuk menyambung sisa perjuangan
terus kutatapi wajahnya kejauhan
Tak mampu mengungkap sepatah
merawat hati yang rawan

Aku tetap tegar
Bangkit semula bersama kalian yang lain
Tak mahu berputus asa, menghabis ruang masa yang ada
Taklifan bertambah, tapi bukan itu alasan
untuk kita sama-sama berjuang
Hadir kalian ibarat tiang seri
Ampuh menyokong tatkala
angin badai datang menerjah

Hati-hati kita
telah bersatu dan sebati dalam satu ikatan
Di sinilah pahit, manis, susah, senang, duka dan suka
kita berkampung

Tahun ketiga
Diuji dengan peperiksaan yang tiada berhabisan
Pening, mual semuanya bercampur baur
Hati dilanda kerisauan Maha Hebat
Tapi ditutup kejap
dengan wajah menenangkan kalian semua

Sikap kita pelbagai rupa dan wajah
Yang lebih segera menampung yang kurang
Yang atas menjenguk ke bawah
Akhirnya serata jua kita

Saat kemenangan hampir
Sekali lagi Allah Yang Maha Pengasih
Melalukan ujian pada sahabat
Ibarat kita semua , satu sakit..semuanya akan sakit

Tak mahu kalian patah hati
Kita semua bangun berdiri sama
Menuju mara ke hadapan
menongkah arus

Dan...di sinilah kita sekarang
Tahun empat
Kesedihan melanda
kita sudah terpisah dengan tanggungjawab berbeza
waktu tak memberi sedikit kesempatan
untuk aku menatap wajah-wajah kalian seperti dulu
Surau, jarang menerima kehadiran kita
Bertemu berjumpa sekadar menyelesaikan permasalahan dan agenda

Tetapi, ku berharap
Agar kita semua masih punya waktu dan kesempatan
sebelum masing-masing bertebaran di atas muka bumi ini
mencari sesuap rezeki dan menagih redhaNYA..

'Terima kasih sahabat' ..ayat yang sudah lama tersemat dalam hati tapi tak terluah oleh diri ini. Cukuplah Allah penghubung antara kita. Jika saat ini kalian teringat pada Allah dan diri ini jua mengingatiNYA ..maka disitulah selayaknya hati kita bertemu..

(To all my sahabiah : Farhana, Oni,Aya, Jah, Che Qam, Amnah, Diyana, Fini, Kak Shidah, Siti)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home