Ghaddul Bashar

"Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi hati yang letaknya di dalam jasad itu yang buta"

Sunday, March 05, 2006

.:Cinta itu:.

Berbicara tentang cinta pasti ramai yang teruja, seolah ia sesuatu yang menyeronokkan . Cinta pada siapa ? Cinta pada apa ? Rata-ratanya lebih suka bercakap mengenai cinta pada manusia,makhluk,harta mahupun pangkat tapi bila dibangkitkan tentang cinta kepada ALLAH, kita seolah tidak berminat dan sengaja tidak mahu memahami.

Pernah suatu hari Rabiatul Adawiyah didatangi beberapa orang soleh untuk berziarah ketika itulah terjadisoal jawab di antara Rabiah dengan tetamunya itu berkenaan masalah menyembah ALLAH. Salah seorang ditanya Rabi’ah .
‘Mengapa anda menyembah ALLAH ? ‘ tanya Rabi’ah
‘Kerana saya takut akan api neraka’ jawab orang itu.
‘Mengapa anda menyembah ALLAH ?’ tanya Rabi’ah bertanya pula kepada tetamu yang lain.
‘Saya menyembah ALLAH kerana takut masuk api neraka dan ingin masukke
syurgaNYA’ jawab tetamunya itu.

Rabi’ah menarik nafas panjang kemudian berkata :
‘Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah ALLAH hanya kerana
mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka !’

Sejurus Rabi’ah terdiam seakan-akan kecewa mendengar penjelasan mereka.Kemudian dari bibirnya keluar sebuah soalan :
‘Sekiranya syurga dan neraka tiada, apakah kamu tidak menyembah ALLAH ?’

Hadirin saling berpandangan sesama mereka.Tidak menyangka kalau-kalau pertanyaan seperti itu akan dikemukakan oleh Rabi’ah.Agak lama tidak seorang pun di antara mereka berani menjawab. Salah seorang drpd mereka memecahkan kesunyian itu bertanya kepada Rabi’ah :
‘Kalau begitu tolong jelaskan kepada kami mengapa anda menyembahNYA ?’

‘Saya menyembah ALLAH adalah kerana keranaNYA. Nikmat yang dianugerahkanNYA kepada saya sudah cukup menggerakkan hati saya untuk menyembahNYA’ Demikian jawapan Rabi’ah ringkas tetapi padat. Dan dengan jawapan ini,Rabi’ah sekaligus telah menjelaskan kenapa dia menyembah ALLAH dan di mana tahap mana kedudukannya dalam penyembahan ini.

Pernah pula Sufyan at Thawri meminta Rabi’ah membicarakan tentang pengertian kemurahan dan Rabi’ah bertanya kepadanya:
‘ Apakah yang dimaksud dengan kemurahan menurut pendapat anda?’
‘Yang dimaksudkan pemurah di dunia ialah orang yang tidak bakhil menafkahkan hartanya dan pemurah menurut orang yang rindu akan akhirat ialah orang yang tidak bakhil menyerahkan dan mengorbankan dirinya’ jawab Sufyan.

‘ Anda salah’ jawab Rabi’ah dengan tegas.
‘Pemurah ialah bahawa anda menyembah ALLAH kerana anda mencintaiNYA, tidak mengharapkan apa-apa, tidak inginkan balasan dan imbalan’ kata Rabi’ah.
Menurut Rabi’ah, hanya CINTA yang patut dijadikan dasar dalam menyembah ALLAH. Teras keimanannya ialah bukanlah kerana takutkan neraka dan bukan pula kerana cintakan syurgaNYA.Yang dikatakan CINTA ialah bila mana kita tulus dan ikhlas. Melalui satu hadith Qudsi ALLAH berfirman yang bermaksud :
‘Keikhlasan ialah satu rahsia yang Ku pertaruhkan di hati orang-orang yang kucintai.Tersembunyinya sehingga malaikat pun tidak dapat melihatnya selagi belum dituliskan dan syaitan pun tidak dapat merosakkannya’

Cinta pada manusia sebenarnya sesuatu yang tidak pasti, adakalanya kita hampa, kecewa, putus asa dan sedih tetapi bila kita menyerahkan seluruh kecintaan ini padaNYA..alangkah indahnya perasaan itu. Betapa sucinya, paling indah, paling manisnya dan yang tinggalnya hanya bahagia tanpa kecewa. Bukanlah kita menolak fitrah semulajadi cuma letakkanlah ALLAH itu paling teratas dan paling agung nescaya kalaupun kita kecewa dengan manusia pasti matahati kita dapat melihat rahmat disebalik setiap sesuatu itu. Percayalah dan yakinlah, cinta ALLAH itu sudah cukup membuatkan hati ini makin tenang !

“SAYA MAKAN ROTI DUNIA TETAPI SAYA BERAMAL UNTUK AKHIRAT”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home